Monday, August 30, 2010

# Bahaya obesiti terhadap kanak-kanak (Bhgn 1)

Kanak-kanak yang berbadan gempal sering dianggap comel dan mendapat tumpuan yang lebih apabila berada di kalangan sesuatu kumpulan. Tembam, montel, chubby atau apa jua gelaran yang diberikan kepada kanak-kanak ini menggambarkan tubuh mereka. Bagi kanak-kanak di dalam lingkungan 5 tahun dan ke bawah, gelaran sebegini jarang diambil berat dan tidak dipandang negatif. Ini kerana bagi ibu bapa mereka, anak-anak ini baru ingin mengenal erti kehidupan, usah ditegur kerana bimbang mereka hilang selera makan dan sebagainya. Namun, bagi kanak-kanak dari peringkat sekolah rendah hingga ke awal remaja; gelaran gemuk, gempal dan sebagainya kadangkala sangat sensitif dan boleh membawa implikasi negatif kepada emosi dan pemikiran kanak-kanak ini. Kebiasaannya, hal ini adalah disebabkan faktor pemakanan mereka yang kurang sihat sejak kecil lagi.

Sedarkah kita bahawa obesiti ini sangat berbahaya sungguhpun kepada anak-anak? Apa yang sangat membimbangkan ialah mengikut kajian, kanak-kanak mempunyai tempoh kitaran hidup yang pendek berbanding orang dewasa kerana obesiti!

Sel lemak diibaratkan sebagai sebuah plastik beg yang mengandungi titisan-titisan lemak. Sel-sel lemak ini biasanya diukur apabila seseorang itu berumur lewat remaja atau awal dewasa. Kanak-kanak obese pula mempunyai lebih banyak lagi sel lemak. Saiz sel lemak ini akan bertambah dan berkurang bergantung kepada kandungan lemak yang terkandung di dalamnya. Jadi, sungguhpun kanak-kanak obese ini akan menjadi lean (kerana sel lemak ini mengecil), tetapi lebihan sel-sel lemak tadi tidak mampu berkurangan semudah itu sungguhpun mereka berjaya menurunkan berat badan.

(1) Perubahan hormon

Kanak-kanak perempuan yang obese lebih cenderung untuk matang lebih awal. Mereka akan mula datang haid lebih awal pada awal belasan tahun. Kebiasannya, pertumbuhan perempuan akan mulai berhenti 2 tahun selepas menstruasi. Kanak-kanak obese ini berkemungkinan tidak mencapai pertumbuhan yang sebaiknya. Kajian juga turut mencatatkan bahawa mereka mudah terdedah kepada sindrom polycystic ovarian; yang mana akan menyebabkan pertumbuhan rambut yang tidak seimbang dan sebagainya.

(2) Metabolik sindrom

Obesiti juga menyebabkan kanak-kanak ini mulai terdedah kepada penyakit diabetes. Masih ingatkah kita pada paparan akhbar dan media mengenai kanak-kanak seawal umur 11 tahun sudah mulai mempunyai penyakit diabetes Type 2? Kandungan lemak yang berlebihan dalam badan terutama bahagian organ dekat perut merupakan faktor berbahaya yang boleh mengganggu kandungan normal glukos dalam badan dan boleh menyekat salur pembuluh darah.


(3) Perkembangan Otak

Kanak-kanak obese ini cenderung untuk menghadapi pseudotumor cerebri, berupa tekanan kandungan cecair dalam otak. Ini boleh menyebabkan sakit kepala yang kronik dan juga masalah penglihatan. Mereka juga kebiasaannya mempunyai IQ yang agak rendah berbanding kanak-kanak lain yang sihat.

Kita biasanya sedar bahawa kanak-kanak yang obese ini hanya sekadar gemuk, kurang bertenaga berbanding kanak-kanak lain. Kita kurang menyedari bahawa obese sebenarnya membawa kesan yang tidak sihat kepada anggota badan keseluruhannya. Kesannya kepada bahagian organ yang lain seperti paru-paru dan sebagainya akan disambung dalam entri seterusnya.

Nantikannya!

No comments:

Post a Comment